Para pengguna turut memberikan respons yang baik atas alasan, straw biodegradasi lebih mesra alam sekitar.


Tinjauan wartawan Utusan Online di beberapa kedai makan sekitar Lembah Klang hari ini mendapati, rata-rata peniaga dan pengguna setuju dengan pendekatan mengharamkan penggunaan straw konvensional dan digantikan dengan straw biodegradasi.


“Ini satu perubahan dan anjakan yang sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi. Sebagai rakyat dan juga pengusaha makanan, saya tidak ada masalah untuk menggantikan straw konvensional dengan straw bidodegradasi,”

kata pemilik kedai makan Cik Melur, Tengku Ahmad Silmi, 43, yang beroperasi di Bandar Sri Permaisuri di sini.


Beliau berkata, saranan menggunakan straw biodegradasi nanti tidak akan membebankan peniaga sepertinya asalkan kosnya tidak meningkat.


Senada dengan pemilik kedai makan Cik Melur, pengusaha kedai Nasi Arab, Norihan Kadir, 37, mengharap apabila pelaksanaan penukaran penggunaan straw konvensional kepada biodegradasi berkuatkuasa, tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga straw tersebut.


“Sebelum ini peniaga menggunakan polistrin untuk membungkus makanan. Apabila kerajaan mengharamkan penggunaan polistrin, kita pula yang terpaksa menanggung kos yang lebih mahal berbanding kos yang dikeluarkan sebelum ini.


“OIeh itu, apabila kerajaan baharu mahu mengimplementasikan penggunaan straw biodegradasi dalam tempoh dua tahun akan datang, kita minta pihak yang berkenaan, memantau harga straw dan tidak dinaikkan dengan sewenang-wenangnya,” tegasnya.


Sementara itu, kakitangan swasta, Erly Azmizi, 39, berkata, pendekatan yang diambil oleh pihak kerajaan adalah satu langkah baik untuk memastikan Malaysia berubah menjadi sebuah negara dan rakyatnya lebih peka kepada pemuliharaan alam sekitar.


“Ini satu cadangan yang bagus untuk memastikan negara kita berubah kepada sebuah negara yang mesra alam sekitar. Perubahan ini mesti sejajar dengan mentaliti rakyat Malaysia yang masih kurang kesedaran.


“Secara peribadi, saya bersetuju dengan hasrat kerajaan hari ini yang mahu mengharamkan penggunaan straw konvensional demi membantu meningkatkan ozon yang semakin hari, semakin menipis,” katanya. - UTUSAN ONLINE