Video oleh FARID JANUDIN

Apatah lagi jika berlaku keada­an tidak diingini dan di luar dugaan terhadap anak mereka seperti yang dialami oleh Nur Dania Alia Mohd. Zaidi yang dirempuh kereta di depan sekolahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Besi Batu Rakit, Selasa lalu.

Ibunya, Nor Hasnizah Che Nik, 36, tidak menyangka Nur Dania Alia terpaksa menduduki UPSR di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana menerima rawatan ekoran kecederaan paha.

“Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana dia agak tenang sepanjang berada di hospital kera­na sering menerima kunjungan guru-guru dan rakan sekolahnya setiap hari,” katanya ketika ditemui di HSNZ di sini hari ini.

Nur Dania merupakan salah seorang daripada lapan calon UPSR yang menduduki peperiksaan di lima buah hospital di negeri ini kerana menghadapi masalah kesi­hatan.

Tiga daripada mereka dirawat di HSNZ manakala dua lagi calon di Hospital Dungun serta setiap seorang di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), Hospital Kemaman dan Hospital Hulu Terengganu.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meluangkan masa me­ninjau perjalanan UPSR di SK Kompleks Seberang Takir.

Beliau yang diiringi Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin turut memberi kata-kata perangsang kepada para calon.

Ahmad Razif memberitahu, seramai 20,273 calon termasuk 83 calon berkeperluan khas menduduki peperiksaan itu di negeri ini dan kerajaan negeri menyasarkan 10 peratus daripada mereka akan memperoleh 6A.

“Kita yakin 10 peratus ini akan dapat dicapai dengan Gred Purata Negeri (GPN) pula adalah 2.8 serta 80 peratus lulus dalam semua mata pelajaran atau sekurang-kurangnya D,” ujarnya.