Kemudahan yang disediakan khusus bagi kalangan kira-kira 3,000 ibu tunggal dalam kawasan itu merupakan sebahagian daripada usaha membela nasib golongan itu dengan membantu mereka memajukan diri.

Bangunan setingkat berkeluasan 0.02833 hektar yang melibatkan kos sebanyak RM266,183 itu menyediakan satu ruang aktiviti, bilik mesyuarat dan tiga kiosk jualan.

“Selain pusat ini, sebuah Kompleks  Aktiviti Ibu Tunggal Terengganu akan dibuka tidak lama lagi sebagai pusat pentabiran dan kegiatan berskala besar bagi menjana pendapatan golongan ibu tunggal,” ujar Ahmad Razif kepada pemberita kemudiannya.

Yang hadir sama, isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Tuan Arif Sahibu Fadillah Tuan Ahmad dan wakil Kelab Ibu Tunggal Kuala Nerus, Ajizah Othman.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, antara aktiviti yang dijalankan di situ adalah kursus masakan, jahitan, solekan, urutan di samping kelas mengaji Al-quran dan pelbagai program lain membabitkan empat dewan undangan negeri (DUN).

“Kerajaan negeri melalui YPKT tidak pernah meminggirkan golongan ibu tunggal ini dan sentiasa berusaha bagi mengadakan aktiviti dan program yang dapat memberikan manfaat kepada mereka dari semasa ke semasa.

“Peranan ibu tunggal akan terus diperhebatkan menerusi pembukaan Kompleks Aktiviti Ibu Tunggal Terengganu di Chendering yang bakal beroperasi dalam masa terdekat,” katanya di sini hari ini.

Sehingga kini, Terengganu merekodkan seramai 32,161 ibu tunggal yang berdaftar dengan YPKT. - UTUSAN ONLINE