Itulah kriteria utama yang diperlukan oleh seseorang juruterbang untuk menjadi anggota Russian Knights, kumpulan pertunjukan aerobatik udara dari Rusia.

Menurut Ketua Pasukan Russian Knights, Kolonel Andrey Alekseev, kemahiran tinggi amat diperlukan kerana sebagai sebuah pasukan aerobatik udara, ketepatan dan kecekapan mengendalikan pesawat merupakan aspek utama yang diambil kira.

"Ini kerana kita bukan sahaja mahu melakukan yang terbaik buat penonton, tetapi juga mengambil kira aspek keselamatan kerana pesawat yang kami gunakan amat berkuasa," kata Andrey dalam satu sidang akhbar sejurus pasukannya selesai melakukan pertunjukan di sini tadi.

Pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 kali ini, pasukan ini membuat kemunculan dengan mengoperasikan pesawat tempur pelbagai fungsi buatan Sukhoi, SU-30SM.

Menariknya, model ini merupakan versi yang dipertingkatkan hasil pengalaman Sukhoi sewaktu membekalkan siri pesawat yang sama kepada Malaysia, SU-30MKM.

"Sebelum ini, kami menggunakan pesawat SU-27 (bagi pertunjukan udara).

"Pertukaran ini bermaksud pasukan kami juga membuatkan kami menukar formasi pertunjukan, bersesuaian dengan keupayaan dan kemampuan pesawat itu," kata Andrey yang turut menambah, ketika ini para juruterbang pasukannya sedang berlatih untuk melakukan persembahan dengan formasi enam buah jet. - UTUSAN ONLINE

Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL