Permukaan jalan licin terutama ketika hujan, air bertakung kerana bahan yang digunakan tidak menyerap air dan pemasangan pemisah laluan basikal dan laluan kenderaan (rubber separator) setebal hampir dua inci itu menyebabkan pengguna jalan raya termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah laluan berkenaan.

Tinjauan Utusan Online di jalan berkenaan mendapati batu-batu halus berwarna biru dan coklat yang baharu dipasang beberapa hari lalu sudah mula terhakis menyebabkan permukaan jalan menjadi licin sekali gus mendatang bahaya kepada penunggang motorsikal.

Pemasangan pemisah laluan itu dijuga dilihat menyusahkan penunggang motosikal terutama ketika terlanggarnya menyebabkan mereka hilang imbangan dan hampir terjatuh.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie berkata, bahan yang digunakan kontraktor yang dipertanggungjawabkan memasang pemisah dan membuat laluan basikal kebiasaannya digunakan di tepi kolam renang dan taman permainan.

Katanya, keadaan itu mengundang situasi kurang selamat kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motorsikal terutama ketika hujan sementara batu-batu kecil yang terhakis kerana hanya diletakkan di atas jalan tar sedia ada menyebabkan permukaan jalan menjadi licin.

“Kalau kita lihat banyak pasir dan batu-batu kecil berterbangan menunjukkan bahan yang digunakan ini murah dan kebiasaannya digunakan di taman permainan dan bahagian tepi kolam renang. Pihak berwajib sepatutnya menggunakan tar yang berwarna yang dapat menyerap air.

“Apabila hujan, permukaan laluan basah kerana tidak menyerap air dan akan menyebabkan jalan menjadi licin. Kami berharap DBKL mengambil langkah segera bagi mengelakkan kemalangan maut daripada berlaku, jangan sudah berlaku baharu hendak ambil tindakan,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Mohammad Hisham bersama beberapa aktivis PPJK melakukan tinjauan dan kaji selidik di lokasi pemasangan laluan basikal termasuk mendapatkan reaksi daripada penunggang motosikal yang menggunakan jalan berkenaan.

Dalam pada itu, seorang penunggang motosikal, Suhaimi Suratman, 48, berkata, pengguna jalan raya berasa keliru dengan kewujudan laluan basikal tersebut kerana tiada sebarang papan tanda khas diletakkan pihak berkuasa tempatan.

“Kalau basikal, kita tetapkan khas untuk basikal. Letaklah papan tanda laluan basikal kerana penunggang motosikal menjadi teragak-agak untuk menggunakannya.

“Semalam viral, ada penunggang motosikal jatuh di sini disebabkan pembahagi jalan, saya rasa tidak sesuai diletakkan di situ, sudahlah tinggi kalau hujan, habislah, ini membahayakan nyawa pengguna jalan raya,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah dalam satu sidang akhbar hari ini memberitahu, DBKL mengambil tindakan segera membuka semula pemisah laluan basikal dan laluan kenderaan itu.

“DBKL akan mengkaji semula perkara tersebut apatah lagi terdapat bantahan daripada pengguna jalan raya. Kami akan cari jalan penyelesaian yang terbaik untuk kesejahteraan warga kota secara keseluruhannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE