Sejak daripada kejadian itulah, daging Wagyu mula dikenali dan dikatakan sebagai makanan mewah kerana harganya yang mahal bermula daripada RM1,200 dan mampu mencecah RM10,000 sekilogram.

Ketua Pegawai Eksekutif Colla Cattle Farm, Jamal Abdul Karim berkata, daging Wagyu merupakan baka lembu termahal di dunia kerana lapisan lemak baik untuk tubuh yang terdapat di antara daging tersebut.

DAGING Wagyu menjadi pilihan orang ramai khususnya bagi penggemar stik daging. - UTUSAN ONLINE
DAGING Wagyu menjadi pilihan orang ramai khususnya bagi penggemar stik daging. - UTUSAN ONLINE 

Katanya, harganya mahal disebabkan diimport dari luar seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Australia kerana sebelum ini tiada penternak lembu tempatan yang menternak baka berkenaan.

"Lapisan lemak yang terdapat antara daging menyebabkan Wagyu menjadi terlalu mahal.

"Contohnya, daging Wagyu apabila kita makan dan letakkan di lidah akan cair dengan sendirinya. Ini jauh berbeza berbanding daging biasa yang berkanji dan perlu dikunyah sebab itulah dia mahal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online di Laman Ternakan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, dekat sini hari ini.

Colla Cattle Farm yang mempunyai tiga ladang ternakan di Kuala Selangor, Selangor; Kulim (Kedah) dan Kanchanaburi (Thailand) merupakan salah satu pempamer pada pameran dwitahunan yang berlangsung dari 22 November hingga 2 Disember nanti.

Sementara itu, mengulas dakwaan lembu Wagyu diberikan minum arak, mendengar lagu dan sebagainya untuk menghasilkan daging yang sedap, Jamal berkata, perkara tersebut hanyalah mitos semata-mata.

"Itu mitos. Di Jepun pada 1990-an, pekerja ladang di sana apabila bosan mereka dengar lagu, berikan lembu urutan dan apabila musim sejuk atau panas, lembu tidak selesa jadi mereka beri arak untuk bagi lembu selera makan.

"Disebabkan benda-benda mitos ini, harga daging Wagyu naik. Sebenarnya tiada kena mengena pun dengan daging itu," ujarnya.

Katanya, cara menghasilkan daging terbaik adalah menjaga pemakanan lembu Wagyu seperti rumput, soya, barli, jagung dan dedak.

"Disebabkan itu, ternakan seekor lembu baka tersebut boleh memberikan pulangan sekitar RM60,000 hingga RM90,000 seekor, bergantung kepada saiz ternakan berkenaan," katanya. - UTUSAN ONLINE