Dan bagi Fathurrahman Aiman Othman, 20, kekurangan yang dimiliki bukanlah satu alasan, bahkan dia menganggap ia merupakan satu cabaran hidup yang perlu ditempuhi.

Lebih mesra dipanggil Aiman, kekentalan anak muda yang menghidap penyakit spinal bifida dari Melaka ini diberi penghormatan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Inspirasi sewaktu Majlis Konvokesyen Cosmopoint College ke-24, di sini hari ini.

"Saya tidak pernah anggap apa yang saya alami ini sebagai suatu halangan, malah menganggap ia sebagai suatu cabaran dan peluang untuk bersaing dengan rakan-rakan lain dalam mengejar impian saya sebagai pereka grafik yang berjaya suatu hari nanti," kata Aiman yang menggunakan papan selaju (skateboard) untuk memudahkan pergerakan beliau.

Ditanya mengenai aktiviti hariannya sewaktu mengejar impian menggenggam diploma, Aiman berkata, dia amat bertuah kerana mempunyai rakan-rakan dan pensyarah yang sentiasa memberi sokongan.

"Sokongan daripada mereka turut memberikan saya kekuatan mengharungi segala cabaran yang dihadapi," tambah anak muda ini yang kini seorang lulusan diploma Seni Reka Grafik Berkomputer.

Kini, Aiman sedang menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari UNITAR International University, di Kolej Cosmopoint Melaka.

Sementara itu, menurut seorang penerima Anugerah Ketua Eksekutif dan Anugerah Bestari, Muhammad Fadzly Abdullah, kejayaan bukanlah satu perkara mudah buat dirinya.

"Dari kecil saya sentiasa dengar, kalau kita nak berada di atas, kita kena kalahkan semua orang.

"Bagi saya, sebenarnya, kalau kita nak berada di atas, kita kena bimbing semua, terutamanya rakan-rakan kerana kerjasama ini akhirnya akan memberi manfaat kepada semua," tambah Fadzly.

Pada majlis konvokesyen yang diadakan di Palace of the Golden Horses hari ini, seramai 859 graduan dari Kolej Cosmopoint di seluruh negara menerima diploma masing-masing.

Pada sesi petang pula, seramai 564 graduan dari Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) menerima ijazah, ijazah sarjana dan diploma mereka. - UTUSAN ONLINE