Tinjauan Utusan Online di sekolah itu mendapati, bukan hanya yang memegang jawatan pengawas sekolah atau pengawas pusat sumber memakainya bahkan hampir kesemua keseluruhan pelajar berkasut hitam biarpun arahan itu baru sahaja diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini.

Rata-rata ibu bapa dan pelajar yang ditemui turut meluahkan rasa selesa sejak memakai kasut berwarna hitam mulai tahun lalu memandangkan tidak perlu memikirkan masalah kasut kotor sekali gus menjimatkan wang.

Menurut Sabri Ghaffar, 55, pemakaian kasut hitam sejak tahun lalu telah memberi peluang kepada golongan ibu bapa untuk menjimatkan wang memandangkan sebelum ini perlu membeli lebih daripada sepasang kasut setiap tahun.

“Saya terpaksa membeli sekurang-kurangnya dua pasang kasut memandangkan anak saya jenis yang lasak dan tidak sampai enam bulan persekolahan kasut sudah terlalu kotor dan berdaki biarpun dibasuh setiap minggu,” ujarnya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Noni Jamaluddin, 39, pula berkata, dia begitu lega selepas pihak sekolah memberitahu para pelajar perlu memakai kasut berwarna hitam sejak tahun lalu memandangkan tidak perlu khuatir terhadap kekotoran kasut anaknya.

“Kasut warna hitam inikan mudah dan senang hendak dibersihkan justeru para pelajar ini bebas untuk bergerak untuk melakukan apa-apa aktiviti. Sekiranya kasut putih ini terpaksalah berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, Nurul Syasya Meor Sharif, 17, berkata, dia rasa seronok sejak memakai kasut berwarna hitam kerana tidak perlu lagi mengambil masa terlalu lama untuk membersihkannya memandangkan jenis warna kasut itu mudah dibersihkan.

“Tidak perlu lagi mengambil masa terlalu untuk membersihkan kasut, senang dan mudah. Kadang kala dua minggu sekali baru cuci kasut warna hitam ini,” ujarnya.

Senada dengannya, Mohd. Syahir Akmal Jmaludin, 17, menyifatkan perkara itu memberi peluang untuk dia melakukan sebarang aktiviti tanpa risau akan mengotorkan kasutnya seperti semasa memakai kasut putih.

“Kadang kala ibu bapa bising sebab kasut kotor sangat memandangkan pelbagai aktiviti di sekolah, selepas pihak sekolah membenarkan memakai kasut warna hitam saya bebas melakukan apa sahaja,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE