"Kalau sudahpun tercatit saya ke situ, ke situlah saya. Ada dalam Surah Yaasin ayat ke-82, kita patut semua tengok ayat itu baru kita faham maksud saya," titah baginda ketika ditemui pemberita selepas berkenan berangkat menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Al Imam Ash Shafie di Kotasas di sini hari ini.

Baginda ditanya kemungkinan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berikutan pemasyhurannya sebagai Sultan Pahang keenam menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah berkuat kuasa semalam.

Surah Yaasin ayat 82 dimaksudkan baginda berbunyi, ‘Innama amruhu idza arada syaian an yaqula lahu kun fayakun’ yang bermaksud ‘Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, Jadilah! Maka jadilah ia.’

Sultan Abdullah bertitah, apa pun keputusan 
Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, biarlah ia yang terbaik untuk negara.

"Tidak kira proses mana sekalipun, berdoa supaya pilihan itu pilihan yang terbaik untuk negara tak kira siapa sekali pun," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Abdullah bertitah, baginda insaf dan perasaannya bercampur sedih serta syukur atas pemasyhuran sebagai Sultan Pahang.

 

Titah baginda, ia adalah tanggungjawab besar dan akan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat negeri ini.

“Saya hendak janji lebih sangat pun ini bukan masanya untuk dinyatakan, tetapi saya akan berikan segala usaha dalam apa jua bidang sekali pun,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE