Menceritakan pengalaman itu, Muhamad Daud Sharuddin, 23, berkata, akibat terpengaruh dengan tipu daya gaji lumayan bernilai AS$1,200 (RM4,901.36) sebagai pelayan hotel menerusi aplikasi WeChat, dia bersama 46 tahanan lain akhirnya menjadi mangsa sindiket penipuan.

Katanya, dia mula menyedari ditipu oleh ejen pekerjaan terlibat setelah pihak terlibat merampas pasport, telefon bimbit dan pelbagai dokumen lain.

“Malah kami dikurung selama dua bulan di salah sebuah rumah di Kemboja dan tidak dibenarkan keluar ke mana-mana.

“Akhirnya kami ditangkap pihak berkuasa Kemboja pada Disember lalu sebelum ditahan di penjara negara itu lebih dua bulan”, katanya ketika ditemui di KLIA2 di sini hari ini.

Ujarnya, pihak polis menyerbu lokasi mereka ditempatkan kerana atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram sebelum menjadi tahanan Penjara Provinsi Banteay Meanche.

“Menjadi tahanan penjara adalah satu keperitan kerana saya menyaksikan tahanan-tahanan kes lain yang dipukul dan sekali gus menjadi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan anak-anak muda di luar sana agar tidak mudah terperdaya tawaran palsu di media sosial, jika tidak alamilah nasib seperti kami,” katanya.

Selain Muhamad Daud, tiga mangsa lain turut tiba ke tanah air hari ini iaitu Yap Yu Xiang, 25; Yeam Yoke Foong, 26 dan Ng Shing Long, 27, dengan menaiki penerbangan AirAsia AK543.

Kepulangan mereka itu disambut Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Sharul Ikram Yaakob.

Antara mereka berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur manakala 43 lagi mangsa dari Sabah dan Sarawak menaiki pesawat disewa khas yang berlepas dari Siem Reap ke Kuching.

Wisma Putra sebelum ini mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu di Poi Pet sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Dikatakan kesemua mereka ditahan di negara tersebut setelah terpesona dengan janji manis berupa gaji lumayan yang dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Daripada 47 mangsa yang ditahan, 44 tahanan berasal dari Sarawak dan mereka disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang memperdaya mangsa dengan gaji lumayan jika bersetuju bekerja di Kemboja dengan bayaran wang pendahuluan antara AS$100 (RM407) hingga AS$200 (RM814) seorang. - UTUSAN ONLINE