Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Sialin, Datuk Sia Swee Seng berkata, pemasaran produk makanan berkhasiat itu ke pasaran Asia Barat diyakini mampu menjana pendapatan yang lumayan dan mempunyai potensi besar.

“Memang tidak dinafikan produk berasaskan sarang burung walet lebih popular di China dan bukannya di negara Asia Barat.

“Walaubagaimanapun, setakat ini kami menerima respon baik bahawa produk makanan berasaskan sarang burung walet mampu mendapat tempat di pasaran sana,” katanya dalam sidang akhbar Program Lawatan Media ke NAFAS Sialin (M) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Dalam pada itu, Swee Seng berkata, industri sarang burung walet kini menjadi antara sektor pertanian popular dalam kalangan usahawan dan berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu kepada negara.

“Malaysia merupakan pembekal kedua terbesar sarang burung walet dunia selepas Indonesia. Produk hiliran makanan berkhasiat itu yang sebelum ini tertumpu pada pasaran China kini telah berubah trend permintaan dari pasaran luar China.

“Hal ini adalah kerana kos produksinya adalah rendah namun mampu memberi keuntungan yang banyak dan bernilai tinggi,” katanya. - UTUSAN ONLINE