Itulah suasana yang dapat dilihat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Wangsa Maju yang menantikan para calon ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang bermula hari ini.

Tinjauan Utusan Online ke sini mendapati, pihak pentadbiran sekolah telah menyediakan minuman dan makanan ringan untuk membantu para calon menenangkan diri sebelum memulakan ujian.

Salah seorang bapa calon PT3 yang ditemui, Zulkaimi Muhammad, 42, berkata, berbanding dirinya, anak lelaki beliau, Muhammad Zuladli tidak langsung menunjukkan rasa resah untuk menghadapi ujian berkenaan.

“Saya yang jadi tidak keruan memikirkan keadaan anak sulung saya menghadapi PT3 ini.

“Saya rasa dia tenang mungkin kerana persediaan seperti kelas tambahan yang telah dibuat selama ini,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemubual di sini hari ini.

Seorang lagi ibu bapa yang ditemui, Siti Fazila Mohd. Termudin, 42, pula memberitahu, anak perempuannya Fariza Afrina Md. Yunus hanya menunjukkan sedikit keresahan sebelum menuju ke sekolah untuk menduduki peperiksaan berkenaan.

Kata Siti Fazila, sebagai persediaan untuk PT3, dia sering membantu anaknya mengulang kaji pelajaran.

“Dia hanya minta maaf dan halal makan minum sebelum masuk ke dewan peperiksaan serta didoakan agar mudah menjawab soalan.

“Sebagai ibu pastinya saya risau kerana dia anak pertama yang menghadapi peperiksaan besar dalam keluarga kami,” ujar beliau.

Pada PT3 tahun ini, seramai 425,251 calon akan menduduki ujian bertulis PT3 yang bermula hari ini hingga Khamis ini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 394,458 calon adalah pelajar sekolah menengah kebangsaan manakala 10,949 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan. - UTUSAN ONLINE