Presiden Persatuan Muafakat One Belt One Road (PMOBOR), Datuk Iskandar Sarudin berkata, inisietif serta kerjasama lain telah diperkukuhkan dalam beberapa perjanjian pernigaan sebelum ini dan perkara itu tetap akan diteruskan.

“Kerjasama yang komprehensif sentiasa dilakukan dan ketika ini perdagangan perniagaan kita masih dalam landasan betul tanpa sebarang masalah.

“Kita tahu kerajaan kemungkinan sedang menghadapi masalah dalam sumber kewangan dan berusaha mengutamakan mana-mana projek yang memberi pulangan yang lebih besar dan menguntungkan kedua-dua negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama International Dispute Resolution Risk Management Institute (IDRRMI) yang diwakili pengasasnya, Dr. Francis Law.

Menerusi MoU itu, PMOBOR dan IDRRMI bersetuju untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan, budaya dan pembangunan dalam memastikan kedua-dua negara mampu bersaing di platform antarabangsa.

Menurut Dr. Francis, pihaknya turut mencari peluang dalam beberapa industri termasuk perdagangan dan industri makanan yang kini semakin melonjak naik.

Tambahnya, dengan usaha seperti ini diharapkan banyak lagi peluang perniagaan dapat diterokai sekaligus merancakkan potensi perniagaan Malaysia dan China.

“Kita berharap usaha sama ini akan membuahkan hasil selepas melihat kesungguhan kedua-dua pihak yang mahu bukan sahaja merapatkan hubungan perniagaan tetapi melonjakkan pasaran perdagangan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE