Panglima Markas Ke-30 Briged Infantri (30 Briged), Brig. Jen. Hashim Aman Shah berkata, ramai anggota keselamatan yang terkorban menentang komunis suatu ketika dahulu dan cubaan untuk menukar sejarah berkaitan komunis, hanya akan menggores hati ahli keluarga mereka yang telah terkorban.

Beliau berpendapat, keamanan yang dikecapi ketika ini mengakibatkan ramai pihak khususnya golongan generasi muda terlupa sehingga sanggup mempertikaikan peranan ATM, sebaliknya cuba pula untuk mengangkat komunis.

“ATM sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam memastikan keselamatan negara dan mengekalkan pembangunan dari dahulu sehingga kini, meskipun tanpa kewujudan ancaman nyata daripada anasir luar sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri konvoi lebih 200 buah kenderaan anjuran bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATMTBM) dan 30 Briged dari Kangar ke Terinai Lake Resort di sini, yang julung-julung kali diadakan secara bersama hari ini.

Dalam pada itu, menurut Presiden PVATMTBM, Ismail Abidin berkata, sambutan terhadap bulan tersebut saban tahun semakin lesu dan tidak bermaya menyebabkan beliau dan Hashim terpanggil untuk menganjurkan program berkeaan secara bersama.

Kata beliau, biarlah program yang dijalankan itu menjadi pembakar semangat kepada semua rakyat negara ini khususnya dalam kalangan generasi muda untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan ini.

“Pada masa ini, kami melihat semangat patriotisme semakin berkurangan. Hari ini, individu, premis-premis perniagaan, kenderaan dan rumah persendirian tidak lagi bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Oleh itu, marilah kita kembalikan semangat ini sebagai tanda menghargai perjuangan generasi terdahulu termasuk puluhan ribu anggota keselamatan yang terkorban dalam menuntut kemerdekaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hashim memberitahu, menerusi sambutan Bulan Kemerdekaan yang diadakan pada bulan ini, ia mampu menunjukkan tanda penghargaan rakyat terhadap pengorbanan dan jasa anggota pasukan keselamatan.

Katanya, ini kerana ada sesetengah pihak yang seolah-olah melupakan peranan ATM hanya kerana negara berada dalam keadaan aman dan tenteram.

“Maka sebab itu, kita perlulah semarakkan lagi penganjuran sambutan Bulan Kemerdekaan ini selain dimasukkan dengan nilai-nilai sejarah bagi memperingati pengorbanan pasukan keselamatan ini,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE