Bagi ahli perniagaan itu, tiada yang lebih berharga dalam menunjukkan rasa kasih dan sayang serta cintakan tanah air selain daripada mengibarkan Jalur Gemilang.

Bagi memeriahkan lagi sambutan pada tahun ini, beliau menggunakan sebanyak 5,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk menghias kenderaan dan kediamannya di Bandar Seri Alam, dekat sini.

“Aktiviti menghias menggunakan bendera kebangsaan ini sudah menjadi aktiviti tahunan bagi saya dan keluarga sejak lima tahun lalu.

“Namun, kali ini tidak dinafikan adalah yang paling meriah bagi kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Selain menghias kediaman dan kenderaannya, Kandapan turut menyumbang sebanyak 500 Jalur Gemilang kepada lapan buah sekolah di sekitar kediamannya.

“Saya melakukan perkara ini kerana amat menyayangi tanah air ini dan hingga kini rakyat dapat berkongsi hidup secara aman dan harmoni.

“Harapan saya semoga kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati sekarang berkekalan,” katanya.

Dalam pada itu, Kandapan turut mengajak semua lapisan masyarakat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-61 negara pada tahun ini bagi memupuk rasa patriotik dan cintakan tanah air dalam diri masing-masing.

Beliau turut berhasrat untuk mengadakan konvoi pada 31 Ogos ini dengan memandu dari Johor Bahru ke Putrajaya bagi memeriahkan lagi sambutan berkenaan.