Ujar Ester Yap, 48, sudahlah kemudahan sedia ada tidak mencukupi dan menyukarkan, golongan OKU harus sepakat untuk menolak perkongsian kemudahan awam tersebut.

"Saya harap perkara ini tidak berlaku kerana selama ini pun golongan OKU bagaikan didiskriminasi dan sukar untuk menggunakan kemudahan sedia ada.

"Ini ada pula cadangan kami terpaksa berkongsi dengan golongan transgender, saya berharap perkara ini tidak akan berlaku sama sekali," katanya ketika ditemui Utusan Online, hari ini.

Easter berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh berikutan transgender mungkin boleh guna tandas OKU.

Sementara itu, bagi pasangan OKU, Khairul Azmi, 27, berpendapat perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana selaku OKU seperti orang buta, mereka pasti tidak tahu niat sebenar golongan transgender tersebut.

"Majoriti yang menggunakan tandas OKU termasuk golongan buta. Jadi sekiranya golongan itu menggunakan tandas yang sama, bagaimana kami boleh menyedari mereka turut berada di situ?

"Saya berharap pihak kementerian memandang serius tentang perkara ini dan memberi keutamaan serta kemudahan kepada golongan OKU terlebih dahulu," katanya.

Isterinya pula, Ainul Mardhiah, 29, sependapat dengan suaminya kerana golongan OKU sememangnya mempunyai hak keistimewaan yang perlu dititik beratkan.

Ajib Mansor, 32, pula menegaskan sekiranya tandas itu dikhaskan untuk OKU, maka ia harus digunakan oleh golongan OKU sahaja.

"Selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu-isu yang agak sensitif.

"Kasihanilah kami dan fikirkan tentang golongan OKU yang lain juga. Mohon fikir dahulu sebelum bercakap," katanya.

Mengulas isu sama, Rosnah Hashim menegaskan dia selaku golongan orang kurang upaya (OKU) tidak bersetuju sekiranya kemudahan awam untuk OKU seperti tandas digunakan sewenang-wenangnya oleh golongan transgender. - UTUSAN ONLINE