Ini kerana mereka mendakwa tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan PPIM sebaliknya bekerja di bawah Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (S1M) dan gaji mereka dibayar oleh sebuah syarikat bernama Risk Group Management & Consultancy.

Bekas pegawai penyiasat S1M, Muhammad Fadhrul Yusoff berkata, segalanya bermula apabila seorang wanita mendapatkan khidmat S1M bagi melangsaikan hutangya berjumlah RM385,000 termasuk kos pengurusan persatuan dengan 64 ceti haram atau ah long.

Katanya, selepas pembayaran sebanyak RM260,000 dibuat, wanita berkenaan masih lagi diganggu pemiutang tersebut dan kemudiannya menuduh persatuan itu cuba menyeleweng wang berkenaan.

Muhammad Fadhrul berkata, beliau hairan mengapa namanya dipetik sebagai individu yang bertanggungjawab membocorkan maklumat persatuan itu kepada orang awam serta didakwa melarikan fail aduan kes-kes berkaitan ah long.

“Saya tiada kena-mengena dengan tindakan melarikan fail itu. Saya percaya fail yang dilarikan itu sebenarnya bukti pembayaran ah long pinjaman wanita berkenaan. Saya pelik kenapa sehingga ke hari ini dituduh dan dikaitkan dengan pelbagai cerita termasuk meminta duit pengadu dan sebagainya.

“Jika dipanggil polis untuk beri kenyataan, saya tiada masalah kerana tahu tidak bersalah dalam hal ini dan saya dituduh macam-macam sedangkan sudah jelas bukan saya yang lakukannya,” katanya.

Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas bagi memperjelaskan dakwaan mengenai tuduhan Muhammad Yusuf yang mendakwa keempat-empat mereka cuba mensabotaj PPIM yang turut dihadiri tiga lagi bekas aktivis S1M, Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa, Mohd. Aliff Muhammad Iberahim dan Sairul Tuah.

Dalam pada itu, Syed Alwi Al Hadad berkata, mereka meninggalkan S1M kerana melihat perjuangan yang dilaungkan persatuan itu dalam melindungi hak pengguna telah jauh tersasar sebaliknya kini lebih terarah kepada keuntungan sahaja.

“Saya mengikuti kes penyelesaian pinjaman ah long wanita berkenaan dengan lebih dekat. Saya ada menegur supaya mengembalikan wang lebihan bayaran kerana S1M hanya perlu membayar sebanyak RM160,000 berbanding RM260,000 yang telah dibayar dan baki RM125,000 lagi yang dituntut daripada wanita tersebut.

“Sebaliknya, saya pula dituduh ingin lakukan sabotaj. Saya tidak pernah sabotaj untuk jatuhkan sesiapa dan apabila beliau lontarkan fitnah dan mencaci tak mengapa, kami terus menentang dan menuntut. Pengadu lain juga akan mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.

Sementara itu, Mohd. Aliff mendakwa, terdapat penyelewengan dalam S1M.

“Ada pengadu yang terpaksa membayar sejumlah wang sedangkan perjanjian dengan ah long adalah kosong. Ini bermakna mereka sepatutnya tidak perlu membayar apa-apa kepada ah long,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE