Mengambil pendekatan Malaysia akan menyambut kemerdekaan negara pada bulan hadapan, komuniti Doodict dan Persatuan Animasi Malaysia (Animas) tampil merencanakan objektif tersebut untuk menyemarakkan lagi aktiviti seni dan budaya di negara ini.

Pengasas Doodict, Muhamad Hizami Musa berkata, selain menerapkan semangat kekitaan dalam pertandingan doodle yang terbesar kali ini bertujuan mahu mencungkil lebih banyak bakat baharu di Malaysia.

“Kebanyakan artis yang mahir melakukan doodle tidak menonjol dan lebih gemar membuatnya di rumah sebagai salah satu cara untuk mengisi masa lapang.

“Namun bagi kami, mereka perlu diberi ruang untuk mempamerkan kreativiti masing-masing secara terbuka kepada orang awam,” katanya ketika ditemui Utusan Online.

Jelas Hizami lagi, pertandingan doodle kali ini turut menampilkan seramai 90 artis doodle dari seluruh Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak.

Ujar Presiden Animas pula, Amir Hamzah Hashim, program yang mendapat kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta KL Gateaway Mall ini amat membantu dalam memperkenalkan kerjaya seni doodle yang mungkin kurang dikenali dalam kalangan masyarakat sebelum ini.

“Sebagai inisiatif, KL Gateaway Mall menaja hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 dan MyIPO amat membantu dari segi khidmat nasihat untuk pendaftaran hak cipta agar hasil seni karyawan tempatan terpelihara,” katanya.

Sementara itu, seorang guru pendidikan seni dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, Johor Bharu, Rabbiatu Najua Rosman berkata, dia mula terlibat dengan lukisan doodle sejak tahun 2006 dan ketika itu dia masih bergelar seorang pelajar.

“Saya mengangkat tema ‘Everyday Is Festival’ dalam pertandingan lukisan doodle ini dan fokus saya adalah lebih kepada perayaan pelbagai kaum, permainan tradisional serta makanan popular yang ada di negara ini,” katanya.

Seorang pelajar tahun dua Rekaan Grafik dan Multimedia Kolej Equator, M. Rayshini pula berkongsi cerita, dia sememangnya berminat dengan lukisan doodle sejak dari kecil.

“Memandangkan ahli keluarga dan juga para guru turut sama menyokong minat saya, seni doodle yang saya miliki ini diharap dapat terus diperkenalkan serta dikembangkan dengan lebih luas,” katanya.

Doodle Fever anjuran Doodict dan Animas mula dianjurkan pada 28 hingga 29 Julai bertempat di KL Gateaway Mall, Bangsar dan orang ramai dijemput hadir bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang untuk menyaksikan proses seni doodle dilakukan oleh pakar secara langsung. – UTUSAN ONLINE