Kedua-duanya, Amirah Sackett, 40, dan Mary Mar, 36, tiba di Malaysia sejak 9 Ogos lalu untuk berkongsi pengalaman mereka sebagai penganut agama Islam di negara berkenaan.

Amirah yang merupakan pengasas kumpulan tarian wanita 'We're Muslim Don't Panic' berkata, hip-hop adalah tarian moden yang sudah lama menjadi sebahagian budaya Amerika dan ia sangat sesuai sebagai salah satu medium dakwah.

"Apabila orang melihat saya membuat persembahan dengan pakaian menutup aurat mereka menjadi kagum kerana seorang wanita Musliam yang dianggap ditindas mampu berbuat sesuatu yang perlukan kekuatan.

"Saya biasanya menyarungkan abaya semasa persembahan dan ia memberi kesan kepada penonton apabila menyaksikan saya tetap boleh melakukan gerakan hip-hop seperti 'popping' yang kelihatan seumpama robot.

"Kita tahu Islamophobia adalah perkara realiti masyarakat kini, kami berharap melalui hip hop penonton merasa ada hubungan dengan kita lalu tembok halangan dapat diroboh dan menjadi peluang mengubah persepsi buruk terhadap Muslim," katanya selepas sesi pertemuan 'The Get Down Session' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, di sini hari ini.

Sementara itu Mary yang berasal dari Detroit pula berkata, tarian hip-hop yang mereka lakukan tidak melibatkan gerakan menjengkelkan sebaliknya lebih kepada pergerakan fizikal pantas seperti aktiviti sukan.

"Ini adalah kali pertama saya keluar negara untuk berkongsi pengalaman dan menunjukkan sebahagian daripada budaya kami.

"Saya banyak terlibat dengan program bersama golongan muda dari keluarga kurang berkemampuan di AS dan mengajar mereka tarian hip hop sebagai cara menanam disiplin dan keyakinan diri," katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan Kedutaan AS, Sarah Talalay berkata, kedua-dua penari itu dibawa untuk berkongsi pengalaman di tiga lokasi iaitu Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur bermula 9 Ogos hingga 18 Ogos ini.

"Kami mahu tunjukkan sebahagian budaya Amerika dan juga peluang untuk masyarakat di sini berinteraksi secara langsung dengan penduduk negara kami yang beragama Islam," katanya. - UTUSAN ONLINE