[VIDEO]Yayasan IJN tambah baik bangunan penginapan orang ramai
Toh Puan Dr. Aishah Ong

Penginapan itu jenis dormitori itu terletak di aras dua blok C, menyediakan pilihan katil seorang, bertingkat atau bilik keluarga dengan bayaran minimum antara RM20 dan RM50 sehari.

Namun, menurut Pengerusi Yayasan IJN, Toh Puan Dr. Aishah Ong, penghuni yang kurang berkemampuan untuk membayar kadar minimum itu, boleh membuat rayuan kepada Yayasan IJN untuk.

“Sekiranya layak, mereka boleh tinggal di dormitori secara percuma dan juga diberi vaucar makanan percuma sepanjang ahli keluarga mereka dirawat di sini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Better Brighter Dormitory di sini hari ini.

Dormitori tersebut khusus untuk ahli keluarga pesakit jantung yang mendapatkan rawatan di IJN merupakan sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial sosial (CSR) melalui sumbangan berjumlah RM1.4 juta, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu  Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk A. Sakhtivel; Ketua Pegawai Koprporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman; Pengerusi IJN, Tan Sri Dr. Mohd. Nasir Mohd. Ashraf dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhari Yakub.

Kira-kira RM400,000 daripada sumbangan itu adalah untuk menaik taraf dormitori sedia ada manakala tambahan RM1 juta lagi untuk kos operasi bagi tempoh lima tahun.

Dormitori itu pada asalnya mempunyai empat bilik dengan kapasiti 26 katil, satu bilik televisyen dan setiap bilik dilengkapi dengan satu bilik mandi serta tandas.

Aishah berkata, dengan sumbangan TNB, kini IJN mampu menyediakan penginapan kepada 56 penghuni pada satu-satu masa.

Menurutnya, bilik mandi ditambah kepada 10 unit berbanding empat unit sebelum ini.

Sementara itu, Sakhtivel berkata, dengan adanya dormitori yang lebih selesa dan serba baharu ini, ahli keluarga serta waris pesakit boleh tinggal buat sementara dalam keadaan selasa dan menjimatkan masa perjalanan.

“Saya yakin usaha TNB ini mampu mengurangkan beban golongan terbabit yang tidak mampu menyewa bilik hotel dan terpaksa berada di sisi pesakit untuk tempoh yang lama,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Video Oleh UMAVATHI RAMAYAH