Video oleh AZLAN BAHRUM

Ramli yang merupakan tenaga pengajar di Pusat Pengajian al-Quran Braille, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu di Seberang Takir di sini pernah memperolehi sembilan mata, iaitu rekod terbaiknya sejak terlibat dalam sukan itu kira-kira setahun lalu.

Katanya, minat terhadap memanah tradisional timbul selepas aktiviti itu diperkenalkan Pertis WIlayah Terengganu bagi membolehkan ahli-ahli persatuan beriadah di samping menghayati sunah dan sirah Rasulullah SAW.

Menurut Ramli, memanah bagi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan memerlukan bantuan jurupandu arah bagi memberikan panduan mengenai sasaran yang tepat sebelum anak panah dilepaskan.

"Sukan untuk OKU penglihatan agak kurang jadi, dengan adanya memanah ini sedikit sebanyak kami dapat mengisi masa lapang.

"Walaupun susah tetapi ada seronoknya. Saya sendiri tidak sangka saya pernah mendapat lapan dan sembilan mata semasa latihan walaupun baru beberapa kali bermain cuma, pada hari ini rezeki tidak berpihak kepada saya apabila semua anak panah tersasar," katanya kepada pemberita selepas Karnival Memanah Pertis 2019 di Pusat Memanah Pertis Wilayah Terengganu di Kampung Telaga Daing, di sini hari ini.

Dalam pertandingan yang julung kali diadakan itu, Fatimah Zahrah Mamat dan Ibrahim Muda masing-masing muncul juara kategori B40 wanita dan lelaki manakala Aziz Mahmud (B60 terbuka) di samping Azri Nasrudin Abd. Rashid (X60 terbuka), Wan Rosli Wan Mamat (B60 sukarelawan) dan Alauddin Omar (X60 sukarelawan). - UTUSAN ONLINE