Sokongan padu semua NGO tersebut disampaikan menerusi satu memorandum yang di­serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.


Video Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

Menurut wakil NGO ber­ke­naan, Zambri Mohd. Isa, pihak­nya menyifatkan Bajet 2018 itu sangat dekat dengan rakyat khususnya dalam memberi manfaat kepada orang Islam dan Melayu.

“Antara berita gembira di­umumkan Perdana Menteri adalah peruntukan besar untuk Mara, bayaran khas untuk imam dan bilal serta beberapa pendekatan tambahan demi kebaikan umat Islam.

“Kehadiran kami di sini bagi menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Najib dan kita mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana terus membantu orang Islam dan Melayu,” katanya.

Pada masa sama, Zambri merangkap Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata, Perdana Menteri amat terharu dan menghargai sokongan yang diberikan itu.

“Sudah tentunya sokongan diberikan ini dapat memberi keyakinan kepada Perdana Menteri untuk terus memacu negara ke hadapan.

“Seperti kita ketahui, Bajet 2018 bukan untuk pilihan raya, tetapi demi masa hadapan negara khususnya menjelang Transformasi 2050 atau TN50,” katanya.