Aryz Haikal atau nama sebenarnya, Muhammad Azry Haikal, 20, berkata, kesemua filem pendek dihasilkan mereka itu berdurasi antara tiga hingga 15 minit dan menggunakan loghat Kelantan sepenuhnya namun disertakan dengan sari kata bahasa Melayu.

Menurut bekas penuntut Kolej Vokasional Bachok (KBV) itu, video-video tersebut boleh ditonton di Youtube Channel Alieff Irfan atau Shahrul Imran. Karya mereka juga boleh ditonton di akaun Instagram miliknya iaitu aryz.haikal.

Antara filem pendek lakonan Aryz Haikal yang popular ialah Minah Moto dengan jumlah tontonan kini mencecah 3.7 juta, KB Paskal (990,000 tontonan), Operasi X (623,000 tontonan), Kerana Terpaksa Aku Relakan (402,000 tontonan) dan Beza Kawan dengan Sahabat (259,000 tontonan).

"Video kami bukan sekadar untuk berjenaka tetapi lebih kepada menyampaikan mesej kehidupan untuk difikirkan bersama di samping mempopularkan dialek Kelantan kepada penonton.

"Kami tidak fikirkan sama ada video seperti itu boleh menghasilkan pendapatan atau tidak, tetapi kami lebih fikirkan kepuasan diri untuk berkarya serta ganjaran pahala menerusi mesej kebaikan yang ingin disampaikan," kata Aryz Haikal.

Dia ditemui di lokasi penggambaran filem pendek terbaharu mereka di Kampung Kubang Keladi, Jelawat, di sini hari ini.

Menurut Aryz Haikal, lakonan dia dan rakan-rakannya tidaklah spontan kerana mereka masih perlu mengikut skrip yang ditulis ringkas manakala susun atur rakaman produksi serta pengeditan juga dirancang dengan teliti supaya karya-karya tersebut lebih berkualiti.

"Kami menggunakan gajet yang ringkas iaitu kamera DSLR atau telefon pintar manakala lokasi penggambaran adalah tempat-tempat menarik di seluruh Kelantan.

"Minat kami sama dengan kumpulan kugiran underground atau pelakon underground di negeri ini pun memang berlambak cuma tidak mempunyai peluang untuk diketengahkan di industri drama atau filem arus perdana," katanya. - UTUSAN ONLINE