Namun, apa yang membanggakan, keperitan tersebut bukanlah batu penghalang kepada seorang pelatih yang ingin mengikut jejak langkah bapanya, juga anggota Paskal sejak tahun 1991 sehingga 2014.

Bagi Laskar Kelas II Muha­mad Azam Zahran Ahmad Sazili, 20, berkata, bapanya, Leftenan Komander (B) Ahmad Sazili Abdur Mutalib, 47, merupakan sumber inspirasi untuk berjaya dalam kursus itu, terutama selepas melihat secara dekat pera­nan Paskal sejak dari kecil.

Katanya, bapanya juga turut memberi galakan dan mahu dia meneruskan kursus tersebut walaupun terpaksa berkorban masa dan keluarga.

“Menjadi Paskal adalah minat saya sejak darjah enam selepas melihat keupayaan dan kehebatan mereka. Bapa kadangkala membawa saya ke tempat latihan dan melihat sendiri keupayaan serta ke­tangkasan mereka.

“Daripada situ timbulnya minat. Walau apa pun, bapa juga ada berpesan apabila berkhidmat sebagai anggota tentera dan menjadi komando, negara yang pertama dan keluarga di tempat kedua. Semua ini merupakan pengorbanan terbesar,” katanya ketika ditemui pemberita dalam maj­lis upacara tamat kursus asas komando dan perasmian pusat latihan Paskal di sini, hari ini.

Dia bercita-cita meneruskan minatnya sebagai anggota Pandu Arah Udara (Pandura) dan menceburi sukan payung terjun bebas suatu hari nanti.

Dalam pada itu, pelatih terbaik, Laskar Kelas II Muhd. Anas Najmudin Rozali, 20, berkata, dia berlatih dengan berlari dan menjalani latihan kecergasan beberapa bulan sebagai persiapan untuk mengikuti kursus berkenaan.

“Fasa paling perit ketika latihan peringkat paya dan juga Hell Week,” ujarnya.