Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

Pengerusi Penganjuran AINUA yang juga Pengerusi YUA, Dr. Syed Husin Ali berkata, bermula hari ini sehingga tarikh tutup pada 31 Disember ini, orang ramai boleh mencalonkan mereka yang gigih berusaha dan berjasa dalam mengeratkan hubungan demi perpaduan dan integrasi nasional di negara ini.

“Mana-mana individu dan pertubuhan yang mempunyai platform perjua­ngannya mengeratkan hubungan sesama kaum di negara ini dalam apa juga bidang pekerjaan, minat, bakat dan aktiviti ha­rian yang bersesuaian dengan semangat serta nilai-nilai perpaduan kaum yang terdapat dalam karya agung Sasterawan Negara, Usman Awang, boleh dicalonkan,” katanya yang mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu di sini hari ini.

Mengiringi beliau ialah Setiausaha Agung Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Prof. Datuk Dr. Chin Yew Sin dan anak sulung Allahyarham Usman, Haslina.

Mereka disambut oleh Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman; Pengurus Besar Komunikasi Korporat Utusan Melayu, Jamal Ahmed Ali Ahmad dan Pengarang Eksekutif Latihan Utusan Melayu, Ainol Amriz Ismail.

Mengulas lanjut, Syed Husin berkata, pertandingan kali ini lebih menarik apabila Huazong turut memberi kerjasama dalam menjayakan anugerah itu yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 bagi setiap kategori individu dan pertubuhan.

Sementara itu, Yew Sin berkata, pihaknya bekerjasama dengan YUA bagi membuktikan kepada orang ramai bahawa pihak penganjur terdiri daripada rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2015, polarisasi kaum di negara ini semakin teruk dan ini memerlukan usaha pelbagai pihak bagi mengembalikan perpaduan yang erat dalam kalangan kaum di negara ini dan salah satunya diharapkan melalui pertandingan AINUA ini,” katanya.

Majlis penyampaian AINUA 2019 dijangka diadakan pada 12 Mac tahun hadapan sempena sambutan Hari Puisi Sedunia dan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dijangka menghadirinya.

Orang ramai yang berminat untuk membuat pencalonan boleh menghubu­ngi sekretariat AINUA di 03-21413476 (Shimah/Ain) atau melayari laman web http://yayasanusmanawang.my/web/.