Menurut Abu Kassim, dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana itu, Dr. Mahathir ada bertanyakan beberapa soalan dan beliau selaku bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM memberi penjelasan kepada setiap pertanyaan Perdana Menteri itu. 

"Dr. Mahathir ada bertanyakan beberapa soalan yang dia ingin tahu, jadi saya memberi jawapan terhadap semua perkara yang ada dalam pengetahuan saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir di sini hari ini.

Mengulas sama ada soalan yang diajukan Perdana Menteri itu berkisar mengenai kes SRC International dan dana RM2.6 bilion, Abu Kassim berkata, beliau hanya memberi pandangan dalam perkara tertentu kepada Dr. Mahathir.

Video oleh ZAKI AMIRUDDIN

Ditanya adakah pertemuan itu turut membincangkan pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Abu Kassim berkata, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat sebarang pengumuman.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai itu (pelantikan semula), adalah lebih baik memberi keutamaan kepada Perdana Menteri untuk membuat sebarang pengumuman," katanya.

Pada Isnin lalu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui satu surat yang diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Perdana Menteri dalam sidang akhbarnya semalam memaklumkan kekosongan jawatan tertinggi dalam SPRM itu akan diisi secepat mungkin dan perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhamad V. 

Sebelum ini terdapat ura-ura mengatakan dua nama besar yang pernah berkhidmat dalam SPRM iaitu Abu Kassim dan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull disebut-sebut menjawat jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Terdahulu hari ini, Abu Kassim tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada pukul 8.30 pagi bagi mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir dan beliau dilihat keluar meninggalkan bangunan itu pada pukul 10.10 pagi. - UTUSAN ONLINE