Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) Barat Laut Selangor telah menerima peruntukan RM4.8 juta bagi menyalurkan bantuan itu.

Menurutnya, bantuan tersebut akan disalurkan di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang melibatkan 1,089 pesawah, PPK Pasir Panjang (3,068 pesawah) dan PPK Sungai Besar (3,886 pesawah).

“Hari ini, bantuan khas ini kita salurkan kepada pesawah di PPK Tanjong Karang dan di kawasan lain akan diberikan secara berperingkat pada minggu depan.

“Ini adalah bukti komimen kerajaan untuk membantu pesawah dan bukti kerajaan tunaikan janji,” katanya selepas menyampaikan bantuan itu di sini hari ini.

Pembayaran bantuan khas RM200 sebulan selama tiga bulan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018, Oktober lalu.

Noh bagaimanapun memberitahu, difahamkan terdapat kira-kira 700 pesawah tercicir daripada senarai itu dan beliau meminta siapa yang tercicir agar segera menghubungi AIDA.

“Bantuan ini untuk semua, kita tidak pilih kasih janji pesawah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE