Video oleh NURULANUAR MANSOR

Menurut penyelia pertandingan, John Tay, pertandingan edisi pertama peringkat ASEAN anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini diadakan bagi membina satu jaringan kukuh pencipta yang menerapkan pengaplikasian Internet of Things (IoT) di peringkat serantau.

Jelas beliau, bagi mencapai tujuan tersebut, para peserta pertandingan disyaratkan untuk membina perkakasan dan perisian yang dapat memperbaiki kualiti hidup dalam kategori bandar pintar; kesihatan dan pertanian.

"Bagi edisi pertama ini, dapat dilihat kematangan idea-idea yang dibawakan yang mana setiap daripadanya menyentuh perkara-perkara yang mempunyai potensi besar memperbaiki kualiti kehidupan masyarakat.

"Para peserta pertandingan juga dilihat mempunyai kefahaman IoT yang mendalam dan mampu menerapkannya dalam ciptaan masing-masing," jelas beliau.

ASEAN Makerthon 2017 berjaya cungkil bakat baharu

Dalam pertandingan itu, pasukan dari China yang terdiri daripada tiga pelajar Institut Teknologi Harbin, Yuhong Chen, 22; Zhao Chen, 22 dan Xing Rui, 21, muncul juara sekali gus membawa pulang hadiah AS$1,000 (RM4,197).

Pasukan dari Myanmar yang dianggotai oleh Pyar Phyo Paing, 21, dan Min Khant Lin, 21, dari Universiti Teknologi Vietnam meraih naib johan manakala pasukan Malaysia yang dianggotai Kayson Choo, 20, dan Vilson Chew, 20, berada di kedudukan ketiga dan masing-masing membawa pulang wang tunai AS$800 (RM3,357) dan AS$500 (RM2,098). - UTUSAN ONLINE