Video oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

Bapa mereka, Tayib Zakaria, 55, yang juga seorang kontraktor dan pengusaha padi berkata, majlis itu berlangsung secara kebetulan dan bukannya dirancang.

“Ini (majlis) ketentuan Allah ke­rana mereka (anak-anak) bernikah pada tarikh yang rapat sehingga semua buat keputusan untuk me­ngadakan majlis (persandingan) serentak,” katanya ketika ditemui.

Majlis yang dihadiri kira-kira 10,000 jemputan itu berlangsung meriah dengan mengorbankan tiga ekor kerbau, dua ekor lembu dan 200 ekor ayam.

Majlis itu bukan sahaja melakar sejarah manis buat keluarga Tayib dan isterinya, Siti Aishah Shafie, 48, malah kepada penduduk kampung itu kerana melibatkan persandi­ngan pasangan pengantin paling ramai pernah diadakan serentak.

Lebih menarik, penduduk bersama-sama bergotong-royong memasak juadah kampung antaranya gulai umbut pisang, gulai nanas dan ayam masak merah.

Majlis persandingan itu melibatkan anak sulung Tayib iaitu Mohd. Izwan Haris Tayib, 28, dan pasangannya, Farah Adiba Pisol, 25; anak kedua, Mohd. Najhan Hafiq, 26, dan pasangannya, Huziana Yap Nget Foh, 22, yang berasal dari Sabah.

Selain itu anak keempatnya, Mohd. Fakhrul Ikram, 23, dan pasangannya, Siti Nurasmiza Sabri, 21; anak kelima, Nur Aqila, 21, dan pasangannya, Mohd. Rais Romli, 22, serta anak keenam, Nur Anita Dalilah, 19, dan pasangannya, Mohd. Firdaus Harta, 23.

Anak perempuan ketiga Tayib sudah melangsungkan perkahwinan sebelum ini manakala yang bongsu masih bersekolah di tingkatan empat.

Mohd. Najhan Hafiq melangsungkan pernikahan dengan pasangannya pada 24 November lalu diikuti Mohd. Izwan Haris (2 Disember), Mohd. Fakhrul Ikram (5 Disember) dan Nur Aqila serta Nur Anita Dalilah, masing-masing pada 7 Disember lalu.

Mohd. Izwan Haris yang bekerja sendiri ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana majlis tersebut berlangsung meriah dan berjalan lancar.

“Selaku abang sulung, kami adik beradik berpakat mengeluarkan belanja kenduri dan menyerahkan kepada bapa untuk menguruskannya,” katanya.