Walaupun umurnya telah mencecah 81 tahun, namun bagi tukang songkok, Bachtiar Mustafa dia tidak pernah merasa jemu malah mahu meneruskan perniagaan tersebut kerana itu merupakan satu-satunya punca pendapatannya.

Bermula dengan hanya memerhati tukang songkok lain menghasilkan pakaian tradisi Melayu itu, kini, lebih 40 tahun Bachtiar mengusahakan perniagaan songkok di Pasar Dato’ Keramat.

“Sekitar tahun 80-an, saya belajar membuat songkok sendiri dengan berjalan-jalan di Kampung Baru dan memerhati teknik serta cara tukang songkok menghasilkan songkok.

“Songkok pertama yang berjaya dihasilkan mengambil masa lebih kurang tiga hari. Namun, sekarang ini kurang daripada satu jam pun sudah boleh hasilkan satu songkok,” katanya ketika ditemui Utusan Online.

Bagaimanapun, katanya, wang bukanlah satu-satunya faktor dia meneruskan perniagaan tersebut, namun lebih kepada mahu mengekalkan warisan budaya Melayu itu.

Menurut Bachtiar atau lebih mesra dipanggil pak Bachtiar, permintaan songkok sejak 10 tahun kebelakangan ini kurang mendapat sambutan kerana kurangnya lelaki Melayu yang memakai pakaian tradisi itu.

Tambahnya, kadang-kala penjualan songkok setiap bulan kurang daripada sepuluh.

“Kalau dulu lelaki Melayu, pergi mana-mana memang memakai songkok. Oleh kerana perubahan semasa, tiada lagi, semua benda pun berubah.

“Saya rasa minat masyarakat Melayu kita sendiri pun tiada. Sepatutnya, ia harus dikekalkan kerana songkok ini merupakan keistimewaan dan lambang bangsa kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE