Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, jum­lah tersebut merupakan seba­hagian besar daripada kese­luruhan pengundi awal yang berdaftar iaitu 300,255 orang manakala 21,665 lagi akan mengundi secara pos.

Menurutnya, sebanyak 586 pusat mengundi melibatkan 910 tempat mengundi (saluran mengundi) akan dibuka untuk tujuan pengundian.

“Proses pengundian awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh 6,376 petugas pilihan raya dan proses tersebut akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan.

“Di samping itu, pemerhati pilihan raya tempatan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga boleh memerhati proses pengundian awal itu, namun tertakluk kepada kebenaran masuk ke pusat-pusat pengundian daripada polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd. Hashim berkata, pusat pengundian awal akan dibuka bermula pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 5 petang, esok.

Walau bagaimanapun jelas­nya, terdapat beberapa pusat mengundi ditutup lebih awal iaitu antara pukul 1 hingga 3 petang dan ada beberapa pusat yang akan ditutup pada pukul 7 malam.

“Kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat me­ngundi esok, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis. Kertas-kertas undi itu hanya akan dikira pada 9 Mei bermula pukul 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengira­an undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” kata­nya.