Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Prihatin Lot 626 dan 1416 Padang Jawa, Azman Mohd. Taib mendakwa, generasi pertama yang mula meneroka kawasan itu telah menandatangani perjanjian sewaan dengan pemilik tanah, namun secara tiba-tiba terhenti tanpa diketahui punca sebenar.

Sebaliknya, mereka dikatakan telah menerima notis pengusiran selain dimaklumkan tanah tersebut kini dibeli oleh syarikat pemaju, Ehsan Bina Sdn.Bhd.

“Pihak pemaju mula mengusir kami dengan memberikan notis sejak 2013 dan mahkamah telah memerintahkan agar penduduk mengosongkan kawasan, namun kita telah membuat rayuan dan mahkamah membenarkan rayuan kami.

“Bagaimanapun, pemaju sekali lagi membuat rayuan di mahkamah tetapi ditolak. Ini menunjukkan bahawa penduduk bukan penceroboh dan mereka mempunyai hak mendapatkan perumahan alternatif mahupun pampasan yang sewajarnya.

“Kita kesal dengan kerajaan negeri kerana membiarkan pemaju mengusir penduduk secara paksaan selain memandangkan sepi notis pemberitahuan untuk berjumpa dengan pihak bertanggungjawab di Pejabat Menteri Besar minggu lalu. Penduduk bukan mahu membantah tetapi meminta kerajaan negeri supaya campur tangan dalam urusan ini,” katanya.

Terdahulu, Azman menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi supaya menghentikan pengusiran peneroka di Kampung Padang Jawa.

Namun, selepas lebih sejam berkumpul, peneroka baru dibenarkan masuk ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan berbincang dengan Pegawai Pejabat Menteri Besar, Mohd. Elmi Syafiq Abdul Rahman. - UTUSAN ONLINE