Video oleh AZRAN FITRI RAHIM

Dalam serbuan kira-kira pukul 5.50 petang itu, pihak polis yang diketuai oleh Inspektor Zulkifli Mohamad dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JS­JK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan turut me­rampas 29 keping MyKad dan 12 dokumen 'perjanjian' hutang.

Ketua JSJK negeri, Superin­tenden Ahmad Azizul Moha­ med bagaimanapun berkata, pihak­nya masih menjalankan siasatan sama ada MyKad tersebut digunakan untuk aktiviti lain bagi meraih keuntungan lebih besar.

“Dia memberi hutang kepada kebanyakan penduduk di sekitar kawasan ini sahaja dan sebagai cagaran mereka perlu memberikan MyKad atau kenderaan.

“Siasatan kita mendapati untuk berhutang sebanyak RM100, penghutang perlu meninggalkan MyKad sebagai cagaran dan caj tambahan akan dikenakan sekitar 20 peratus untuk mene­bus kembali MyKad,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kelantan di sini hari ini.

Pada 6 Disember lalu, Utusan Malaysia dalam pendedahan eksklusifnya melaporkan sebuah kedai aksesori telekomunikasi di sebuah daerah di Kelantan dikesan menawarkan khidmat ‘unik’ dengan menjadi pusat gadaian MyKad kepada golongan kesempitan wang.

Apa yang membimbangkan, pengusaha premis berkenaan yang sudah bergerak aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa tahun lalu, dipercayai mengambil kesempatan dengan memanipulasi maklumat pemilik MyKad untuk tujuan pendaftaran palsu kad SIM.

Taktik itu digunakan terhadap individu yang benar-benar terdesak memerlukan wang segera sekali gus memudahkan pengusaha terbabit mendaf­tarkan kad sim pelanggan lain termasuk pendatang asing yang enggan menggunakan dokumen pengenalan sendiri yang merupakan syarat wajib kerajaan.

Ahmad Azizul memberitahu, penggadai kenderaan pula dikatakan perlu menandatangani ‘surat akuan berhutang’ dengan suspek yang merupakan pemilik kedai aksesori telekomunikasi tersebut.

“Kadar gadaian adalah sekitar RM1,000. Surat ini dimatikan setem. Dan hasil siasatan kita, suspek sendiri pun tidak tahu apa fungsi mati setem, perjanjian tersebut tidak sah kerana melanggar undang-undang.

“Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Wang (APPW) 1951 kerana memberi pinjam wang tanpa lesen,” katanya sambil memberitahu, polis sedang mengesan 29 pemilik MyKad yang ditemukan itu.