Ini kerana bidang penguatkuasaan kementerian itu hanya membabitkan isu barangan dan kandungan tiruan atau penyalahgunaan jenama terhadap produk rokok elektronik berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Iskandar Halim berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara ini, namun, tidak ada kuasa untuk menangani perkara itu.

“KPDNHEP setakat ini tidak ada kuasa membabitkan perkara ini. Setakat ini tidak ada lagi undang-undang berkaitan vape yang dikuatkuasakan oleh Kementerian ini.

“Kalau vape itu guna jenama orang lain punya, ada orang mengadu, baru kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia dalam siri laporan khas mengenai penyalahgunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah.

Laporan berita itu memetik penyalahgunaan vape ini semakin membimbangkan membabitkan kelompok pelajar sehingga di peringkat sekolah rendah.

Berikutan jualan yang memberangsangkan, ada penjual vape menawarkan perkhidmatan bayaran ansuran kepada para pelajar berkenaan.

Malah, terdapat kegiatan sebilangan pelajar yang menjadi ejen jualan vape kepada para pelajar yang lain. - UTUSAN ONLINE