V rancang tour seluruh Malaysia

KUMPULAN V mengadakan persembahan bagi mempromosikan album sulung mereka di Rockin Jamz Hall, Siera Perdana, Pasir Gudang, Johor, malam tadi. - UTUSAN ONLINE

Vokalis V, Redone berkata, setakat ini mereka sudah melakukan persembahan di Selangor semasa melancarkan album itu pada hujung tahun lalu dan di Johor pada malam tadi.

"Seterusnya V akan mengadakan persembahan di Dungun, Terengganu pada Ogos ini dan dalam proses untuk mendapatkan tarikh serta tempat sesuai di Sabah dan Sarawak.

"Di beberapa negeri terpilih lain di Semenanjung masih dalam urusan perbincangan," katanya kepada Utusan Online ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di Rockin Jamz Hall, Siera Perdana, di sini malam tadi.

Selain Redone, V yang ditubuhkan lebih 10 tahun lalu di bandaraya bersejarah Melaka dianggotai Joe dan Zakie sebagai gitaris, Earth selaku pemain dram serta Dauz selaku pemain bass.

Sumpah Pendekar

KULIT depan album kumpulan V berjudul Sumpah Pendekar yang diterbitkan Karisma Production. - UTUSAN ONLINE

Mereka mengeluarkan album tersebut pada 1 November lalu memuatkan 10 buah lagu berentak power metal dalam bahasa Melayu antaranya bertajuk

Khalifah Alpa, Maruah Bangsa, Makam Mulia dan Pemergian yang diterbitkan Karisma Production dengan mereka bertindak sebagai komposer.

Menurut Redone, produksi untuk album sulung berkenaan menampilkan kualiti bunyi yang berkualiti dirakamkan di tiga buah studio dengan proses mixing dilakukan Rahmad Kamikaze di 
RK39 Mixing Lab manakala mastering dilakukan Steve Corrao di Sage Audio Mastering USA di Amerika Syarikat untuk mendapatkan mutu bunyian yang terbaik.

Katanya, album dalam bentuk cakera padat (CD) itu mendapat sambutan yang positif dalam keadaan jualan album lembab selain terpaksa bersaing dengan format muzik digital berbanding album dalam bentuk tradisional.

Ditanya mengenai strategi mereka dalam memasarkan Sumpah Pendekar, beliau berkata, V mempunyai keunikan muzik tersendiri dan peminat genre metal seperti heavy atau thrash metal dapat menerimanya

kerana jenis muzik yang dimainkan mereka mempunyai persamaan meskipun tetap mempunyai ciri-ciri tersendiri.

"Selain itu kami juga ada menerbitkan satu klip video untuk lagu Sumpah Pendekar yang boleh dilihat menerusi saluran Youtube manakala lagu Rintihan Kota Jihad pula menjadi lagu tema untuk klip video Aman Palestin," ujarnya. - UTUSAN ONLINE