Pengarah Kanan Institut Sistem dan Kejuruteraan Kenderaan UTM, Prof. Dr. Mohamad Nazri Mohd Ja’afar berkata, penggunaan minyak sawit ini boleh me­ngurangkan kebergantungan terhadap minyak fosil yang mungkin bekalannya tidak mencukupi pada masa depan.

“Berdasarkan kajian selama lima tahun menunjukkan minyak sawit yang digunakan sebagai bahan bakar dalam pembakar berbahan api cecair adalah lebih mesra alam.

“Selanjutnya kajian akan dijuruskan kepada enjin pesawat terbang yang boleh menggunakan adunan biokerosin, terbitan daripada bahan api bio ini. Kajian semasa adalah mengenai kebolehgunaan minyak sawit sebagai minyak pesawat terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan sijil berjaya menyiapkan kolaborasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Aero Gas Turbine Combustor and Bio Fuel antara UTM, Universiti Cambridge dan Rolls-Royce sempena LIMA 2015 di sini hari ini.

Program kajian yang bermula pada tahun 2008 ini adalah sebahagian daripada projek offset pembelian enjin Trent 900.

Hasil kajian itu melibatkan pembangunan pangkalan data biodiesel, dua orang staf UTM sebagai pemegang PhD Universiti Cambridge, penerbitan beberapa artikel dalam jurnal berindeks antarabangsa, menerima pingat emas dan perak di ITEX dan MTE.