Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar berkata, kursus Latihan Lanjutan Juruterbang Helikopter dan Pengurusan Keselamatan Penerbangan (Operasi) itu kedua-duanya dilaksanakan dengan mendapat kerjasama daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Objektif kursus adalah membantu negara bagi menangani lebihan juruterbang dengan menyediakan latihan lanjutan dalam operasi penerbangan untuk emenuhi permintaan industri.

“Kursus itu juga akan melengkapkan juruterbang terlibat dengan kepakaran dalam bidang seperti Sistem Pengurusan Keselamatan Operasi Penerbangan, Penyiasatan Kemalangan Udara dan Psikologi Penerbangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara UTM dengan DCA di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Pada majlis itu, UTM diwakili oleh Wahid manakala DCA diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Wahid memberitahu, pemilihan juruterbang yang akan mengikuti kursus tersebut dilakukan oleh DCA.

Dalam pada itu, Azharuddin berkata, terdapat kira-kira 1,500 juruterbang yang belum mendapat pekerjaan tiga tahun lalu dan pada masa yang sama pula negara kekurangan juruterbang helikopter terutama untuk sektor minyak dan gas.

Menurutnya, MoA tersebut merupakan permulaan yang baik bagi meningkatkan lagi pengurusan keselamatan penerbangan dalam kalangan juruterbang.

“Kursus yang akan dijalankan UTM dan DCA itu akan memperkukuhkan lagi pengetahuan juruterbang tentang keselamatan penerbangan,” ujarnya.