Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, usul untuk me­nurunkan had umur itu akan dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan sebelum dilaksanakan.

Beliau berkata, perubahan itu melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan manakala Peguam Negara, Tommy Tho­mas serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menyatakan persetujuan dalam pindaan berkenaan.

“Kita memerlukan undi dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan pindaan had umur ini dilaksanakan. Saya ya­kin dapat mereali­sasikannya,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini, hari ini.

Julai lalu, Syed Saddiq telah berjumpa Tommy bagi membincangkan pindaan undang-undang untuk menurunkan had umur mengundi di mana perubahan itu memerlukan pindaan pada Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau yakin dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, mereka yang berumur 18 tahun akan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi selepas usul tersebut mendapat kelulusan Parlimen.

“Kita juga akan melakukan beberapa pindaan lain untuk memastikan sistem pilihan raya di negara ini dilaksanakan secara telus dan adil tetapi apa yang diperincikan hari ini ialah mengenai pindaan had umur sahaja.

“Selepas ini saya akan mengadakan per­jumpaan dengan pemimpin-pemimpin muda termasuk daripada pembangkang untuk membincangkan perkara ini selain perkara yang berbangkit untuk pemba­ngunan anak muda,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinan untuk mendapat undi dua pertiga, Syed Saddiq berkata, keyakinan itu berdasarkan reaksi positif beberapa kepemimpinan pembangkang termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun.