Malah, kosnya boleh mence­cah sehingga RM1 juta apabila pengajian itu dijalankan di luar negara kerana banyak perbe­lanjaan yang perlu ditanggung sepanjang lima tahun pengajian tersebut.

Namun, soal kekangan kewangan itu sedikit sebanyak boleh diatasi apabila dua buah IPT tempatan telah mewujudkan dana biasiswa berjumlah RM1 juta yang diberi nama Biasiswa Yusof Ishak.

Biasiswa yang diwujudkan Asia Metropolitan University (AMU) dan Cyberjaya University College (CUC) dengan kerjasama Kumpulan Utusan itu bertujuan melahirkan lebih ramai pegawai perubatan.

Menurut Naib Cancelor AMU, Prof. Dr. Mohamad Khan Jamal Khan, inisiatif yang pertama kali diwujudkan dengan kerjasama tiga pihak itu diharap akan menarik perhatian pihak terbabit.

“Kami sasarkan pelajar daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah seperti B40 yang mana mereka layak untuk mendapat biasiswa penuh berjumlah RM298,000 setiap seorang.

“Ada juga yang layak tetapi mungkin mendapat separuh daripada jumlah pembiayaan itu berdasarkan latar belakang ekonomi mereka bagi mengikuti pengajian selama lima tahun.

“Untuk itu, kami telah membuka permohonan dan pemohon yang terpilih akan ditemu duga sebelum diberi peluang mengikuti program-program yang ditawarkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

AMU katanya akan menawarkan pengajian dalam Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS), manakala CUC pula dalam Sarjana Muda Farmasi (Kepujian).

Ujar Dr. Mohamad Khan, program yang ditawarkan oleh AMU yang menempatkan kampus utamanya di Johor Bahru itu adalah program yang diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Kata beliau, akreditasi juga telah diperolehi dari negara-negara seperti India dan Maldives kerana kriteria-kriteria pengajian yang bertaraf antarabangsa termasuk pemilihan kemasukan yang ketat.

“Lulusan program ini boleh berkhidmat sebagai doktor atau pegawai perubatan di negara ini terutama di klinik atau hospital kerajaan kerana ia selari dengan pengiktirafan oleh MMC itu.

“Menariknya, penerima biasiswa ini tidak terikat dengan mana-mana pihak kerana selepas tamat pengajian mereka boleh bekerja di mana-mana juga terutamanya di hospital-hospital kerajaan.

“Memang matlamat kita pun adalah bagi menambahkan lagi bilangan doktor dan pegawai perubatan tempatan terutamanya bagi pelajar yang kurang mampu daripada segi kewangan,” ujarnya.

Diharap biasiswa itu dapat mempromosikan nilai-nilai murni yang ditinggalkan oleh Yusof Ishak yang merupakan pengasas akhbar Utusan Mela­yu seperti sikap bekerja keras dalam sesuatu kerjaya.

Katanya lagi, program yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar itu dijalankan di kampus serba lengkap di kampus AMU di Johor Bahru termasuk latihan klinikal yang intensif.

Program yang mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia itu juga kata Dr. Mohamad Khan dibuka kepada semua kaum dan permohonannya sebelum 23 September ini.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian dengan cara melayari laman sesawang www.biasiswa.utusan.com.my