KUALA LUMPUR 7 Sept. - Institusi raja yang memayungi agama Islam kebelakangan ini yang sering menjadi sasaran komen negatif di media sosial menimbulkan kebimbangan umat Islam di negara ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam teks khutbah Jumaat hari ini berkata, banyak isu dilontarkan belum dipastikan kesahihannya memudaratkan dan mengganggu ketenteraman maysarakat.
“Namun kebelakangan ini, institusi Raja yang sepatutnya dihormati
berhadapan cabaran dengan usaha-usaha untuk mengganggu institusi tersebut
terutama di media sosial.
“Terdapat banyak isu yang dilontarkan belum dipastikan kesahihannya apatah lagi yang tidak mempunyai mana-mana sandaran mahupun bukti.
“Hal ini bukan sahaja menyebabkan kemudaratan dan mengganggu kemaslahatan rakyat, malah pada masa yang sama memberi kegembiraan kepada golongan-golongan yang menolak sistem kerajaan raja berperlembagaan dan Islam sebagai agama persekutuan,” kata Jakim.
Sehubungan dengan itu, Jakim mengajak umat Islam bersatu menjauhkan diri kita daripada terperangkap dan terpengaruh dalam isu seumpama ini.
“Sebagai seorang muslim, hendaklah kita berpegang teguh kepada prinsip syariat Islam iaitu memerintahkan supaya kita menjaga lisan dan menahan diri agar tidak menulis dan menyatakan perkara-perkara yang tidak ada bukti kebenarannya,” jelas Jakim.
Berikut teks penuh khutbah Jumaat hari ini:
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Bersempena hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan
menyeru hadirin yang dikasihi sekalian, marilah kita meningkatkan ketakwaan
kepada Allah dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya
dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh keberkatan
hidup di dunia dan di akhirat. Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari
Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Kelima Belas
Sultan Muhammad Kelima, maka khutbah hari ini akan membicarakan tajuk:
“SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG: ASAS KESTABILAN DAN KEMAKMURAN NEGARA”.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Sesebuah negara memerlukan kepimpinan untuk kesempurnaan pentadbiran
agar menjadi lebih teratur dan berjaya dalam setiap bidang. Menurut Islam,
kedudukan seseorang pemimpin lebih mulia dan tinggi kerana mereka ini
disyariatkan bagi menggantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan
mentadbir urusan umat Islam. Imam al-Mawaradi (dalam kitabnya alAhkam
al-Sultaniyah (menjelaskan: “Tugas pemimpin negara adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan dunia.”
Dalam konteks negara Malaysia pada hari ini, kita sedia maklum bahawa
Bahagian Empat Bab Satu Perlembagaan Persekutuan menyatakan Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan
yang dilantik melalui persetujuan Majlis Raja-Raja. Lafaz sumpah jawatan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mencakupi ikrar taat setia pada
menjalankan pemerintahan dengan adil sebagaimana undang-undang dan
perlembagaan serta memelihara agama Islam.
Justeru itu, perlu diperingatkan kepada diri kita sebagai rakyat jelata betapa
pentingnya kesetiaan terhadap Raja dan negara. Malah ini menepati salah satu
prinsip dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jama’ah iaitu mentaati dan menghormati
pemimpin. Firman Allah dalam Surah an-Nisa’ ayat 59,
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah
kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) dari
kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam
sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah
(AlQuran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan
hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula
kesudahannya.”
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Namun kebelakangan ini, institusi Raja yang sepatutnya dihormati
berhadapan cabaran dengan usaha-usaha untuk mengganggu institusi tersebut
terutama di media sosial. Terdapat banyak isu yang dilontarkan belum dipastikan
kesahihannya apatah lagi yang tidak mempunyai mana-mana sandaran mahupun
bukti. Hal ini bukan sahaja menyebabkan kemudaratan dan mengganggu
kemaslahatan rakyat, malah pada masa yang sama memberi kegembiraan kepada
golongan-golongan yang menolak sistem kerajaan raja berperlembagaan dan Islam
sebagai agama persekutuan.
Sehubungan dengan itu, marilah kita bersatu menjauhkan diri kita daripada
terperangkap dan terpengaruh dalam isu seumpama ini. Sebagai seorang muslim,
hendaklah kita berpegang teguh kepada prinsip syariat Islam iaitu memerintahkan
supaya kita menjaga lisan dan menahan diri agar tidak menulis dan menyatakan
perkara-perkara yang tidak ada bukti kebenarannya. Peringatan ini jelas
dirakamkan oleh Allah melalui firmanNya dalam Surah al-Isra’ ayat 36
Ertinya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai
pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati,
semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.
Dan hal ini juga diperingatkan oleh Baginda Nabi melalui hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim :
Mafhumnya: “Daripada Ibn Mas’ud berkata: Bahawa Rasulullah telah
bersabda: “...dan janganlah sesekali kamu melakukan perkara dusta, maka
bahawasanya melakukan perkara dusta membawa kepada perbuatan maksiat dan
perbuatan maksiat membawa kepada neraka”
Dengan itu, kita amat bersyukur kepada Allah kerana memelihara Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan negara ini daripada sebarang
ancaman. Situasi ini tidak lain dan tidak bukan adalah disumbangkan oleh nilai
sifat hikmah, tegas, bijaksana, adil, saksama dan keupayaan tinggi Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam mengharungi cabaran dengan berkesan.
Bukan itu sahaja, sokongan padu barisan pembesar dan penasihat negara termasuk
para ulama dan dan cendikiawan Islam yang mengurus tadbir dengan cemerlang,
meneguhkan lagi kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Kejayaan negara khususnya menjadi pelopor kepada penubuhan universiti
Islam, Tabung Haji, pengurusan sistem kewangan dan perbankan Islam terunggul
serta peneraju halal dunia yang ternyata memberi manfaat kepada ummah
keseluruhannya, adalah hasil pemikiran ulama yang ingin melihat negara
berpaksikan kejayaan dan kesejahteraan. Inilah sumber kekuatan ummah bila
wujudnya hubungan erat antara umara’ (pemimpin) dan ulama, negara akan
dilimpahi rahmat dan kebaikan.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian,
bahawa kedaulatan Islam dan kemajuan negara adalah berasaskan kepada kekuatan
kepimpinannya. Sayugia itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara sama ada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang
kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam, dikagumi oleh pelbagai
lapisan rakyat jelata. Rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah atas
keperihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memartabatkan
agama Islam, memajukan negara dan membantu kehidupan rakyat agar dapat hidup
dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa.
Mimbar menyeru sidang jemaah sekalian serta seluruh rakyat jelata agar
mendoakan kesejahteraan berpanjangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Kelima Belas Sultan Muhammad
Kelima sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 9 September 2018
bersamaan hari Ahad, 28 Zulhijjah 1439 hijri.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar ingin menyimpulkan bahawa:
Pertama: Prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah menepati syariat
Islam.
Kedua: Gejala fitnah boleh menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara
serta tanda hilangnya iman seseorang.
Ketiga: Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara
yang mempunyai keperibadian tinggi dalam menjalankan bidang kuasa
menjaga negara dan kesucian agama Islam.
Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka
kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta
memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari
melakukan kejahatan dan perkara mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah
kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj:41)
- UTUSAN ONLINE