MOHD. NORHIESAM ISMAIL
MOHD. NORHIESAM

Ketuanya, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, pihaknya juga berharap Majlis Raja-Raja dapat mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin seterusnya menentukan hala tuju Tabung Haji pada masa depan.

Menurut beliau, kontoversi membabitkan Tabung Haji itu perlu diselesaikan segera kerana membabitkan aset terbesar umat Islam sekali gus tidak wajar diadili dan dihakimi menerusi media massa.

Dalam masa sama, beliau turut menolak sekeras-kerasnya penjualan aset Tabung Haji bernilai RM19.9 billion kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) Kementerian Kewangan di bawah Lim Guang Eng bagi menampung liabiliti Tabung Haji.

“Kelihatan begitu cepat untuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguruskan isu ini seolah-olah ada agenda tertentu dan penyelesaian yang diambil juga sangat mudah iaitu menjual aset kononnya bagi menutup masalah negara,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Norhiesam turut melahirkan rasa hairan dengan situasi kerajaan hari ini apabila syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan berkaitan Melayu digambarkan mengalami kerugian teruk.

Lebih membimbangkan, ujarnya, penyelesaian yang diambil bagi mengatasi kerugian itu pula adalah dengan menjual aset seperti yang sedang berlaku kepada Tabung Haji dan Felda sekali gus meresahkan orang Melayu.

“Sampai bila Kerajaan PH mahu mencari salah orang dan ingin mendapatkan populariti murahan dengan isu seperti ini sedangkan tuduhan tersebut belum tentu sahih serta perlu diteliti dan disiasat,” katanya.

Tamba beliau, apa yang sepatutnya dilakukan Kerajaan PH ketika ini adalah mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat yang semakin meruncing seperti isu pembayaran elaun terhadap peneroka Felda, petani, nelayan dan sebagainya. – UTUSAN ONLINE