MOHD. NOR HAMZAH
MOHD. NOR

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, tiada sebab hak asasi itu diagungkan jika tuntutan agama dipersendakan.

"Kerajaan negeri tidak mahu bercakap mengenai hak asasi manusia sekiranya hak Allah terlebih dahulu dicabul. 

"Mana mungkin kita mengagungkan hak hamba ketika hak tuan kepada hamba itu diinjak-injak. Yang harus kita marah  dan benci ialah perbuatan dosa itu sendiri," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada 3 September lalu Terengganu menyaksikan satu lagi sejarah perundangan apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini melaksanakan hukuman sebat terhadap pesalah lesbian yang dibuat secara terbuka, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha  menangani jenayah syariah.

Ia dihadiri oleh kira-kira 100 orang awam bagi melihat sendiri bagaimana ia dijalankan terhadap pasangan lesbian itu yang tidak pula membuat rayuan untuk meringankan hukuman meskipun peluang diberikan.

Katanya, hukuman sebat sebegini telah berlaku semenjak rasul-rasul yang diutuskan kepada manusia sejagat, justeru bukanlah sesuatu yang dianggap pelik, terutama kepada golongan agamawan, sama ada agama Islam, ataupun agama-agama lain.

"Mereka tahu hukuman yang dibuat di hadapan orang ramai adalah hukuman pencegahan. Ia tidak boleh dibayar dengan wang ringgit, tetapi dengan maruah mereka. Ia akan menjadi ingatan berpanjangan kepada khalayak manusia," ujarnya.

Katanya, mengikut pandangan ulama, hukuman lesbian ini bukan terletak di bawah hukuman hudud secara total, dan walaupun dianggap sebagai zina, tetapi diletakkan di bawah hukuman takzir yang  tidak boleh mencapai maksimum 100 sebatan dengan tatacara merotan juga tidak menyeksa pesalah.

"Jelas apabila hukuman ini dijalankan di hadapan orang ramai, ia memberikan kegerunan kepada manusia. Inilah yang kita mahukan. Apabila mereka tertegah untuk melakukan dosa, maka masyarakat akan merasa selamat,"jelas beliau.

Beliau juga menyatakan kehairanan kerana  ketika rakyat negeri ini malah pesalah sendiri menerima pelaksanaan hukuman enam sebatan itu, kalangan tertentu di luar yang gelisah dan lantang mempersoalkannya.

Katanya,  mereka kelihatan  cuba mencampuri urusan hal ehwal Islam dan muslim yang berada di bawah bidang kuasa negeri dengan memberikan pelbagai perspsi negatif termasuk penghinaan.

Beliau mempersoalkan mengapa mereka terutama kalangan bukan Islam berbuat demikian seolah-olah lupa tentang kontrak sosial dalam negara ini tetapi juga perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan untuk beramal dengan agama masing-masing.

"Kami orang  muslim dilarang mencerca agama dan pengamalan agama lain walau sepelik mana sekalipun dan kita tidak bersetuju. 

"Jika sikap mempertikaikan ritual yang diamalkan oleh semua penganut, nescaya ia akan mengundang perbalahan dan pertelingkahan agama yang serius dan berpanjangan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE