Katanya, walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini sedang bercuti di luar negara, Perdana Menteri sentiasa memantau serta mengambil maklum mengenai perkembangan banjir bagi memastikan semua mangsa diberi bantuan.

Tambahnya, sebagai manusia biasa, Perdana Menteri juga memerlukan rehat selepas bekerja keras sepanjang tahun untuk menguruskan negara dan adalah tidak adil jika pihak tertentu cuba mempersoal tindakan beliau tersebut.

“Apabila Perdana Menteri ke luar negara, saya memangku tugas beliau bagi menguruskan negara. Tak perlu risau kerana saya sudah maklumkan kepada beliau apa yang saya akan buat, kita akan lakukan yang terbaik untuk bencana ini.

“Perdana Menteri sudah kerja kuat, selaku manusia biarlah beliau rehat. Tak adil. Ini dalam semangat Krismas tidak patut kita mempersoalkan tetapi rakyat tidak perlu bimbang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau akan melawat Kelantan esok jika Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra masih boleh digunakan tetapi jika banjir sudah menenggelaminya, lawatan ditukar ke kawasan banjir di Pahang dan Terengganu.

Pada masa yang sama beliau memaklumkan, Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara akan dibuat pada Sabtu ini untuk menilai semula secara menyeluruh kesan bencana banjir dan bagaimana pendekatan terbaik untuk menghadapinya.