Penyelidik di Fakulti Bio­teknologi dan Sains Biomolekul UPM, Dr. Syahida Ahmad berkata, produk yang dinamakan Danio Assay Kit itu dibangunkan bagi meningkatkan pemahaman me­ngenai kesan jangka pendek dan panjang sesuatu bahan kimia terhadap manusia.

Katanya, ikan zebra atau nama saintifiknya Danio rerio dipilih sebagai model uji kaji disebabkan sifat unik genetik ikan tersebut yang mempunyai persamaan hampir 80 peratus dengan genetik manusia.

“Selain itu, kos menggunakan ikan zebra juga adalah 60 peratus lebih murah iaitu hanya 10 sen seekor dan proses uji kaji juga le­bih pantas berbanding jika menggunakan tikus.

“Produk ini juga menggunakan teknik bioluminescent iaitu yang pertama di Malaysia membo­lehkan embrio ikan zebra tersebut bercahaya bagi mendapatkan keputusan yang tepat dan jelas.

“Sekiranya bahan kimia dalam setiap uji kaji adalah sangat toksik, embrio berkenaan berhenti bercahaya dan seterusnya akan mati,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Inovasi UPM me­ngenai Produk Danio Assay Kit yang mampu mengesan tahap ketoksikan bahan kimia dalam produk harian manusia di Taman Sains Putra, UPM dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Promosi dan Pemasaran Inovasi UPM, Dr. Mohamad Fakri Zaky Jaafar.

Tambah Syahida, produk yang dihasilkan melalui penyelidikan selama hampir dua tahun bersama tiga lagi penyelidik itu men­elan belanja sebanyak RM200,000 hingga RM300,000.

“Kami sedia mengkomersialkan produk ini di pasaran dengan sasaran utama pengguna adalah kepada penyelidik, pegawai kesihatan alam sekitar dan juga syarikat pembuatan makanan, minuman, kosmetik atau ubat-ubatan.

“Produk Danio Assay Kit ini boleh didapati di syarikat terbitan UPM sendiri iaitu Danio Assay Laboratories Sdn. Bhd. atau boleh menghubungi Pengurus Projek Danio Assay, Aimin Fahim Abd. Azid di talian 011-4030 3093,” katanya.