DR. MAHATHIR

Menurut Perdana Menteri, kejadian yang menyebabkan kecederaan anggota keselamatan dan kerosakan harta benda itu jelas mempunyai unsur jenayah dan beliau akan memastikan dalang kejadian itu tidak akan terlepas.

Berikut kenyataan akhbar Perdana Menteri berhubung kejadian tersebut:

Saya mengikuti perkembangan yang berlaku melibatkan kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ 25, Subang Jaya pada Isnin, 26 November 2018.

Saya juga telah dimaklumkan oleh pihak polis akan perkembangan terkini siasatan ke atas kejadian ini.

Amat jelas daripada siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.

Tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu berkaitan agama walaupun berkaitan perpindahan kuil.

Kerana kejadian berlaku berkaitan jenayah pihak polis telah diarah untuk mengambil tindakan lanjut bagi menangani serta mengawal situasi ini dengan segera.

Kerajaan juga kesal dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab penjenayah yang menimbulkan kekacauan di kawasan kuil dan telah mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat di dalam rusuhan ini.

Penjenayah-penjenayah yang terlibat cuba melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk kerosakan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada.

Bagi dalang, jika ada di sebalik kejadian ini, mereka juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.

Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media.

Sekali lagi saya tegaskan kejadian ini adalah insiden jenayah dan tidak ada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain.

PEJABAT PERDANA MENTERI PUTRAJAYA

27 November 2018