Universiti berkenaan dalam kenyataannya berkata, maklumat mengenai Orhions Ewansiha Thomas yang merupakan pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) diperlukan untuk pengesahan kematian dan status visanya.

“Maklumat mengenai Orhions Ewansiha diminta oleh seorang wakil Kedutaan Nigeria pada pukul 11.30 pagi semalam, kami telah memberi maklum balas segera dan menyerahkan maklumat yang diperlukan.

“Universiti dimaklumkan mengenai kematian Orhions Ewansiha semalam, beliau adalah anak muda yang penuh insipirasi. Takziah kepada ahli keluarga dan juga rakan-rakannya,” kata universiti berkenaan dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Menurut universiti itu lagi, Orhions Ewansiha meninggalkan seorang isteri serta dua anak kecil dan setakat ini pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.

Terdahulu, Jabatan Imigresen menafikan laporan yang mendakwa pihaknya telah menahan seorang lelaki warga Nigeria secara tidak sah sehingga menyebabkan tahanan itu maut di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, Orhions Ewansiha telah ditahan pihaknya menerusi Op Bersepadu Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di kawasan Aman Puri pada 4 Julai lalu.

Jelasnya, susulan daripada itu, kesemua OKT yang ditahan dalam serbuan itu telah di hantar ke DIBJ kira-kira pukul 12 tengah hari pada 5 Julai lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan layanan yang berhemah oleh pegawai yang bertugas.

“Namun, pada kira-kira pukul 12 tengah malam pada Selasa lalu pegawai bertugas telah dimaklumkan oleh tahanan lain bahawa Orhions Ewansiha terkena sawan secara tiba-tiba ketika sedang tidur.

“Pemeriksaan dan rawatan segera telah dilakukan oleh Unit Rawatan Khas sebelum menghubungi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk meminta bantuan,” jelanya.

Tambah Khairul Dzaimee, pihak HUKM kemudiannya tiba kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan terus melakukan pemeriksaan sebelum Orhions Ewansiha disahkan meninggal dunia.-UTUSAN ONLINE