Maszlee dalam kenyataan berkata, universiti bukanlah tempat untuk samseng, pelampau dan pengganas sebaliknya ia adalah medan intelektual terbuka untuk pelajar berdebat serta berforum secara aman.

“Saya dimaklumkan program sembang santai bersama seorang tokoh politik dicemari insiden pergelutan. Saya berasa amat sedih, kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku.

“Bagi mahasiswa, jangan malu. Ada beban tanggungjawab yang harus dipikul untuk masyarakat dan kita perlu terus ke hadapan melawan keburukan dan menyatakan kebenaran,” katanya di sini hari ini.

Petang tadi, program Sembang Santai Bossku bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah restoran menjadi kecoh apabila berlaku pergelutan antara penyokong Ahli Parlimen Pekan itu dengan sekumpulan individu yang didakwa melakukan provokasi.

Provokasi itu bermula di luar restoran dengan kumpulan tersebut mengangkat poster karikatur Najib sebagai badut.

Mengulas lanjut, Maszlee turut berharap pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang berhubung insiden tersebut sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah.

Katanya, insiden itu telah merosakkan nilai budi dan norma masyarakat yang terkenal dengan kesopanan serta kesusilaan. -UTUSAN ONLINE