Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, naik taraf tersebut amat diperlukan berdasarkan perkembangan keganasan di luar negara, khususnya serangan di London Bridge hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis secepat mungkin bagi memberikan pengesahan terhadap penubuhan bahagian baharu itu dengan pertambahan pegawai serta anggota.

“Dahulu ada sebuah bahagian yang memang namanya antikeganasan tetapi empat tahun lalu ia telah dijadikan sebagai sebuah unit.

“Tetapi apabila kejadian-kejadian terbaru di luar negara, kita merasakan bahawa seorang pegawai terkanan polis perlu ditempatkan bukan hanya melihat tetapi mengambil pendekatan holistik terhadap sebarang pencegahan kejadian keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan di Masjid Mahmudi Bandar Bachok di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Per­dagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, tugas pencegahan keganasan bukan sahaja bergantung kepada bahagian tersebut tetapi harus mendapat kerjasama daripada semua lapisan masyarakat.

“Keganasan bukan soal peme­rintahan atau kerajaan sahaja, semua pihak termasuk parti-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus me­me­rangi keganasan.

“Kita berharap semua pihak bersiap siaga membantu polis untuk melakukan pencegahan dan mengatasi permasalahan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau mengulangi pendirian Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan di ibu kota London hari ini.