Sokongan Unisza itu disuarakan oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan mempertahankan Dr. Maszlee yang dikecam hebat termasuk kalangan parti sekutunya sendiri dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan, sudah tiba masa para akademia tampil mempertahankan kebenaran dan juga yang salah, sambil mengakui Menteri Pendidikan cuba melakukan yang terbaik membangunkan pendidikan negara.

“Beliau telah bertindak mengikut saluran yang betul dan berperlembagaan, kenapa harus diserang sedemikian rupa.

“Isu kuota peruntukan pelajar Melayu dan Bumiputera perlu dikekalkan dan ditambahbaik demi keperluan semasa. Ia juga selaras dengan faktor sosio ekonomi dari segi pendapatan, Melayu dan bumiputera masih jauh ketinggalan,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Beliau berkata, Menteri Pendidikan juga begitu prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah (B40) yang majoritinya Melayu dan Bumiputera.

Justeru, katanya, adalah tidak salah mengekalkan kuota tersebut dengan beberapa penambahbaikan selain tidak membiarkan kaum majoriti negara ini ketinggalan dalam semua sektor berbanding kaum lain.

Begitu juga isu bahasa mandarin, jelas beliau, kerajaan telah memberi hak kepada yang berhak dan itulah keadilan dalam erti kata sebenarnya.

“Bukannya sama rata dan sama rasa, kerana pasti ia tidak dapat memenuhi tuntutan semua pihak yang mempunyai pelbagai karenah.

“Ingat, kebolehan berbahasa asing hanya kredit dan turut dituntut Islam. Itu bukan bermakna, syarikat swasta boleh bertindak sewenang-wenang sehingga bertentangan dengan cara hidup bernegara dan berperlembagaan,” katanya.

Hassan Basri menjelaskan, Sekolah Jenis Kebangsaan akan terus bertambah dari masa ke semasa dan keistimewaan ini tidak terdapat di mana-mana negara sekali pun.

“ Mana ada negara di dunia membenarkan perkara sebegini berlaku. Kenalilah hati budi Menteri Pendidikan (Maszlee), beliau tidak akan keluarkan kenyataan semborono.

“Menganalisis daripada semua reaksi ini, saya tidak nampak Menteri bersifat perkauman atau bertindak seperti UMNO. Pada hemat saya, Menteri Pendidikan begitu terbuka dan meraikan kepelbagaian,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE