Antara langkah-langkah yang bakal diberikan perhatian serius ialah titah baginda, dengan meletakkan sasaran yang lebih realistik, tidak terlalu taksub menetapkan sesuatu ‘target’ pada tahap yang terlalu tinggi, tetapi lebih kepada apa yang selayaknya capai ketika ini dan pada tahap yang paling terbaik.

"UniMAP sentiasa merenung kembali yakni ‘Post-Mortem’ atau Pasca Nilai di manakah salah dan silap yang menghalang UniMAP berprestasi seperti sepatutnya. Di manakah kecuaian dan kelalaian yang ada? Apakah yang telah menghalang? Akan melihat dan menganalisa setiap daripada tindakan dan perancangan yang telah dilaksanakan dan bagaimana sesuatu itu boleh diperbetul dan diperbaiki," titah baginda.

Seterusnya, titah baginda, kepimpinan universiti ini juga akan menyediakan pelan dan rancangan sandaran (Backup Plans) atau strategi jangka panjang untuk memulihkan di peringkat individu mahupun sektor secara keseluruhan, sekiranya disedari ada berlaku sebarang racangan asal yang tersasar daripada landasan.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Santapan Malam Tahunan Bersama Tuanku Canselor UniMAP 2019’ yang diadakan di Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat, malam tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor, Prof Ir Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Kamarudin Hussin, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, kepimpinan tertinggi dan ketua jabatan serta dekan di UniMAP.

Baginda yang juga merangkap Canselor universiti turut menambah bahawa UniMAP akan mengambil pendekatan inovatif dalam mengenal pasti individu-individu yang pakar dalam sesuatu bidang untuk direkrut. Pada masa yang sama akan mengekalkan bakat yang diperlukan untuk memastikan tiada sebarang jurang yang ketara dalam memberikan pendidikan berkualiti kepada pelajar untuk bersaing dengan universiti-universiti terbaik lain di rantau ini.

Di awal majlis baginda berdua turut berkenan untuk berfoto kenangan dengan produk baru motosikal hasil buatan UniMAP diberi nama ‘Seri Perlis’ yang menggunakan enjin 4-lejang silinder tunggal 173cc SOHC sejukan udara dengan transmisi 4-kelajuan. - UTUSAN ONLINE